Official Malaysia Government Website
Here's how you know

Official government websites end with .gov.my

If the link does not end with .gov.my, exit the website immediately even if it looks similar.

Secure websites use HTTPS

Look for a lock ( ) or https:// as an added precaution. If not present, do not share any sensitive information.

Speech Collection

Perhimpunan Bulanan Kementerian Digital Bil. 5 / 2024

11 mins
·

Salutations

1. Yang Berbahagia Datuk Wilson Ugak Kumbong Timbalan Menteri Digital

2. Yang Berbahagia Tuan Fabian Bigar Ketua Setiausaha Kementerian Digital

3. Yang Berusaha Tuan Shakib bin Ahmad Shakir Timbalan Ketua Setiausaha Strategik dan Pengurusan, Kementerian Digital

4. Yang Berusaha Tuan Ma. Sivanesan Timbalan Ketua Setiausaha Pembangunan Digital, Kementerian Digital

5. Yang Berusaha Ts. Dr. Fazidah Binti Abu Bakar Ketua Pengarah, Jabatan Digital Negara

6. Yang Berusaha Prof. Dr. Mohd Nazri Bin Kama Ketua Pengarah, Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP)

7. Yang Berusaha Tuan Adrian Marcellus Ketua Pegawai Eksekutif, MyDIGITAL Corporation

8. Yang Berbahagia Ts. Dato Dr Haji Amirudin Bin Abd Wahab Ketua Pegawai Eksekutif, CyberSecurity Malaysia

9. Yang Berbahagia Datuk Ts. Hasnul Fadhly Bin Hasan Ketua Pegawai Eksekutif, MYNIC Berhad

10. Yang Berbahagia Datuk Ahmad Zaki Bin Zahid Ketua Pegawai Strategi, Digital Nasional Berhad (DNB)

11. Pengurusan Tertinggi Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC)

Ahli-ahli Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia,

Warga pengurusan Kementerian dan Jabatan,

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian

Selamat Petang dan Salam Malaysia MADANI.

1. Saya amat berbesar hati dan berterima kasih di atas kehadiran semua ke Perhimpunan Bulanan Kementerian Digital Kali Yang Ke-5 yang mana CyberSecurity Malaysia (CSM) menjadi tuan rumah bagi penganjuran kali ini.

2. Izinkan saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Tuan Adrian Marcellus, Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital Corporation yang baharu. Semoga MyDIGITAL lebih cemerlang di bawah kepimpinan Tuan Adrian.

3. Jutaan penghargaan jua diucapkan kepada YBhg. Datuk Ts. Mahadhir Aziz, mantan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC di atas jasa dan sumbang bakti beliau selama 3 tahun bersama-sama Kementerian dalam usaha menerajui industri ekonomi digital di Malaysia. Tidak lupa juga ucapan selamat datang kepada pegawai baharu ke dalam keluarga besar Kementerian Digital.

4. Sungguh indah Gunung Tahan, Khazanah indah kurniaan tuhan; Salam Kemerdekaan saya ucapkan, Malaysia maju bergerak ke hadapan.

5. Sempurna sudah sambutan Hari Kebangsaan ke-67 pada 31 Ogos lalu yang menyaksikan kemeriahan dan semangat rakyat Malaysia memenuhi Putrajaya. Barisan Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI yang diterajui Kementerian Perpaduan Negara telah menyemarakkan lagi suasana patriotisme selain peragaan pakaian etnik lengkap beraksesori sebagai satu simbolik kepelbagaian budaya masyarakat di negara bertuah ini. Saya berharap semangat jiwa merdeka dan perpaduan ini akan kekal berpanjangan dan mampu memacu usaha-usaha mengangkat martabat negara.

6. Hari ini, saya ingin menyentuh mengenai teknologi dan jenayah siber. Kedua-dua perkara ini berkait rapat dengan kemajuan pesat dunia digital, yang secara langsung membuka ruang kepada aktiviti jenayah dalam talian melalui penyalahgunaan internet dan peranti digital yang merangkumi penggodaman, penipuan dalam talian, phishing, ransomware, pengintipan siber dan sebagainya.

7. Usaha membanteras penjenayah siber memerlukan pendekatan komprehensif yang merangkumi aspek teknologi, pembangunan modal insan, dan kerjasama erat antara sektor swasta dan kerajaan.

8. Pada masa yang sama, undang-undang negara harus kekal relevan dengan peredaran masa. Saya telah membangkitkan perkara ini ketika berucap di Persidangan Perundangan Antarabangsa Kemudaratan dalam Talian 2024 Jumaat lalu. Undang-undang semasa, termasuk Perlembagaan Persekutuan, tidak seiring dengan kemajuan teknologi yang pesat untuk menangani jenayah siber. Saya juga mengutarakan keperluan membangunkan sistem yang lebih cekap di mana aduan mengenai salah laku dalam talian boleh dibuat dengan mudah dan efisien, membolehkan siasatan dijalankan dengan segera.

9. Terdapat beberapa langkah pencegahan yang boleh dilaksanakan bagi menghentikan ancaman penjenayah siber. Antaranya ialah:

a. Meningkatkan Tahap Kesedaran dan Latihan Keselamatan Siber Pengguna, Organisasi dan Institusi Kesedaran tentang teknik serangan terkini seperti phishing, malware, dan social engineering dapat membantu mencegah pengguna dan organisasi daripada menjadi mangsa.

b. Inisiatif Etika Siber Kebangsaan (NCEI) merupakan satu usaha penting yang menekankan pembentukan sahsiah pengguna Internet melalui penerapan nilai-nilai murni dan perilaku beretika dalam penggunaan Internet serta komunikasi di alam siber. Tambahan pula, Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) turut digunakan untuk menyebarkan maklumat mengenai langkah-langkah perlindungan daripada jenayah siber, sekali gus membantu masyarakat untuk lebih berhati-hati.

c. Penggunaan Teknologi Keselamatan Siber yang Kukuh

d. Perlaksanaan Polisi dan Undang-Undang yang Tegas melalui pendekatan kerajaan dalam mengukuhkan Akta Perlindungan Data Peribadi bagi tujuan melindungi data peribadi dan mewajibkan syarikat untuk melindungi maklumat peribadi pelanggan masing-masing.

e. Memperkukuhkan Kerjasama Antarabangsa, Kerajaan, dan Sektor Swasta dengan mengambil kira jenayah siber yang melangkaui sempadan negara, kerjasama antara agensi keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang di peringkat antarabangsa amat penting dalam usaha melacak dan menahan penjenayah siber. Di samping itu, kerjasama ini turut berperanan dalam membangunkan standard keselamatan serta mempertingkatkan perkongsian maklumat mengenai ancaman siber antara kerajaan dan sektor swasta.

f. Memantau dan Mengesan Melalui Perisikan Risiko Keselamatan. Organisasi perlu sentiasa memantau aktiviti rangkaian mereka untuk mengesan percubaan serangan di peringkat awal. Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan pembelajaran mesin dapat digunakan untuk mengenal pasti pola serangan dan ancaman baharu yang muncul. Sistem AI berupaya memantau serta mengenali ancaman yang tidak diketahui dengan lebih berkesan, memberikan maklum balas yang lebih pantas berbanding sistem keselamatan tradisional.

g. Melaksanakan Audit Keselamatan Secara Berkala bagi mengenal pasti kelemahan dalam sistem keselamatan dan mengambil tindakan pembetulan dengan segera. h. Melaporkan Sebarang Aktiviti Mencurigakan kepada pihak berkuasa seperti polis atau agensi penguatkuasaan berkaitan dengan segera untuk tindakan pantas dan berkesan. RUU KESELAMATAN DALAM TALIAN (ONLINE SAFETY BILL)

10. Kerajaan Malaysia merancang untuk memperkenalkan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian (Online Safety Bill) untuk menangani kebimbangan yang semakin meningkat mengenai jenayah siber dan bahaya dalam talian. RUU ini akan dibentangkan pada Oktober 2024. Ianya bertujuan melindungi rakyat Malaysia dengan memberi penekanan khusus kepada perlindungan kanak-kanak dari ancaman seperti buli siber, penipuan dalam talian, dan kandungan berbahaya. Selain itu, RUU ini juga dirangka untuk menangani potensi jenayah siber masa hadapan dan memastikan persekitaran digital yang lebih selamat seiring dengan perkembangan teknologi.

11. Keselamatan dalam talian adalah elemen penting dalam usaha mewujudkan kepercayaan digital. Oleh demikian, peranan Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PPDP) dan CyberSecurity Malaysia (CSM) dalam membina dunia digital yang selamat dan terjamin memerlukan sokongan padu daripada semua pihak.

12. Terdapat pelbagai kekangan dalam memastikan aspek kawal selia perlindungan data pada masa ini, antaranya:

a. Perkembangan teknologi yang pesat dan sentiasa berubah, seperti analitik data raya, AI, dan pembelajaran mesin;

b. Pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa; serta

c. Kekurangan sumber manusia yang mahir dan terlatih dalam bidang keselamatan data. SURUHANJAYA DATA MALAYSIA

13. Keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Data Malaysia adalah penting dalam memastikan pengurusan dan perlindungan data yang berkesan, sejajar dengan trend global dalam peraturan data. Dengan merujuk kepada undang-undang dan akta yang berkaitan seperti draf Rang Undang-Undang Omnibus Malaysia, Akta Data Kesatuan Eropah (EU Data Act), dan Akta Tadbir Urus Data Kesatuan Eropah (EU Data Governance Act), Suruhanjaya Data Malaysia akan menyediakan struktur yang lebih baik untuk pengurusan dan perlindungan data di Malaysia. Langkah ini adalah penting bagi memastikan perlindungan data peribadi dan komersial daripada penyalahgunaan.

14. Justeru, untuk meningkatkan keyakinan pengguna dan pelabur terhadap keselamatan serta integriti data negara, CyberSecurity Malaysia telah memperbaharui Nota Kerjasama Strategik dengan Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi pada 27 Ogos 2024. Pada hari ini, kita akan melihat pertukaran Nota Kerjasama yang bakal diadakan selepas ini. CyberSecurity Malaysia sebagai agensi pakar teknikal keselamatan digital mampu menyokong dalam memperkukuhkan bidang kuasa Suruhanjaya Data dalam perlindungan data komersial.

15. Saya amat berharap agar masyarakat dapat memanfaatkan kemajuan teknologi yang meliputi pelbagai aspek untuk memperbaiki akses kepada maklumat, meningkatkan kualiti kehidupan, serta produktiviti dan ekonomi secara menyeluruh.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

16. Kementerian Digital kini berumur sembilan bulan. Tetapi, Kementerian ini, serta agensi-agensinya, telah melakukan banyak perubahan dalam masa yang singkat. Saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan semua, di atas dedikasi anda. Perjalanan kita baharu bermula. Dalam era digital, kita harus bergerak dengan pantas dan efisien selaras dengan aspirasi pendigitalan negara.

17. Sama ada anda di Kementerian, di Jabatan atau pun di agensi, Kumpulan Pengurusan atau Sokongan, peranan anda amatlah signifikan dalam menjayakan aspirasi Kerajaan Malaysia di dunia pendigitalan. Dengan ini kita berupaya merealisasikan satu ekosistem yang selamat untuk rakyat Malaysia bagi mencapai negara digital, lebih-lebih lagi apabila negara akan tampil sebagai tuan rumah Kepengerusian ASEAN pada tahun hadapan.

18. Dengan ini saya menyeru semua warga Kementerian Digital untuk berganding bahu, memperkukuhkan kerjasama serta memperbaiki tahap kompetensi, dan tidak mudah berasa selesa dengan pencapaian sedia ada. Visi dan misi kita dalam menerajui agenda pendigitalan pastinya akan lebih mencabar, maka kita perlulah sentiasa peka dan bersedia.

19. Kita mempunyai tanggungjawab dan amanah terhadap negara dan rakyat untuk mengangkat Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dalam arena digital dunia. Marilah bersama-sama saya, kita bina sebuah ekosistem digital yang selamat, berdaya tahan, dan mampu menyokong kemajuan negara kita ke arah masa depan yang lebih cerah dan terjamin.

Sekian, terima kasih. -TAMAT-


9.9.2024_TEKS UCAPAN_PERHIMPUNAN BULANAN.pdf

0.14MB

Jata Negara

Ministry of Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Follow Us

All Rights Reserved © 2025