Official Malaysia Government Website
Here's how you know

Official government websites end with .gov.my

If the link does not end with .gov.my, exit the website immediately even if it looks similar.

Secure websites use HTTPS

Look for a lock ( ) or https:// as an added precaution. If not present, do not share any sensitive information.

Media Release

Platform Padanan Mampu Membantu Memperluaskan Sektor Pertanian dan Digital Negara

5 mins
·

KUALA LUMPUR, 16 Ogos 2024 – Pertanian memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia. Namun, banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam sektor pertanian menghadapi halangan bagi mendapatkan dana untuk  mengembangkan perniagaan mereka.  

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata PMKS membentuk kira-kira 97% daripada ekonomi negara, dan peranan sektor ini dalam pembinaan negara tidak boleh  diabaikan.  

“Jurang pembiayaan yang dihadapi oleh PMKS memberi kesan kepada keterjaminan makanan negara, kerana perusahaan ini merupakan penyumbang asas kepada  rantaian bekalan makanan negara. Oleh itu, meluaskan pilihan pembiayaan adalah  kunci kepada masa depan yang lebih cerah bagi mereka dalam sektor terbabit,” kata  Gobind. 

“Di sinilah pemain fintech boleh menjadi platform pembiayaan alternatif untuk PMKS  berasaskan pertanian. Sama ada melalui pembiayaan ekuiti crowdfunding (ECF) atau  pembiayaan peer-to-peer (P2P), platform sedemikian boleh menawarkan lebih  banyak pilihan untuk perniagaan mendapatkan akses dana.” 

ECF dan P2P membolehkan pelabur yang mempunyai selera risiko untuk  menggerakkan modal secara langsung kepada usahawan tani. Perniagaan tani telah  pun berjaya mengumpul dana melalui platform ECF dan P2P. Ini termasuklah mereka  yang terlibat dalam penyelesaian penternakan pintar, ternakan ikan laut secara  ‘indoor’ berasaskan teknologi, ladang durian yang dipantau dron, perniagaan  pembersihan sarang burung berteknologi tinggi dan penyelesaian e-dagang yang  menghubungkan petani kecil dengan pembeli. 

Gobind berkata demikian pada pelancaran GROWMatch, platform padanan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia hari ini.

Inisiatif GROWMatch melengkapkan strategi yang ditetapkan dalam Pelan Hala Tuju "Memangkin Akses PMKS Dan Syarikat Pertengahan (MTC) ke Pasaran Modal: 5  Tahun (2024-2028)" oleh Suruhanjaya Sekuriti, yang meletakkan pasaran modal  sebagai sumber pembiayaan untuk PMKS dan syarikat peringkat pertengahan yang  menarik dan berdaya tahan. 

“Saya telah diberitahu bahawa GROWMatch direka bentuk untuk meningkatkan ekosistem pembiayaan pertanian dengan membolehkan usahawan menyambung dan  melontarkan usaha niaga mereka kepada bakal pelabur dalam sektor pembiayaan  alternatif. Ia juga bertujuan untuk membantu syarikat muda dan peringkat awal  mengakses modal yang berkaitan dengan profil risiko perniagaan mereka.” 

GROWMatch akan menyaksikan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bekerjasama dengan rakan kongsi yang mempunyai rangkaian MSME berasaskan pertanian daripada  kalangan akademik, inkubator, pemecut atau program bina kapasiti. Mereka termasuk Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan, Perbadanan Ekonomi Digital  Malaysia (MDEC), Bioeconomy Corporation, Syarikat Teknologi Maklumat & Ekonomi  Digital Selangor, Universiti Putra Malaysia, dan Impact Circle. 

Untuk rekod, MDEC memudahcara pembiayaan untuk syarikat teknologi yang memacu penggunaan digital dalam sektor agriteknologi. Sokongan ini membantu syarikat-syarikat ini membangunkan penyelesaian yang boleh dilaksanakan di seluruh industri pertanian. Manakala Malaysia Digital (MD) AgTech ialah inisiatif yang dipacu oleh MDEC, dengan kerjasama pihak berkepentingan dan rakan kongsi ekosistem,  untuk memperkasakan sektor pertanian negara secara digital. Dengan  menyepadukan teknologi digital seperti Internet of Things (IoT), Big Data Analytics  (BDA), kecerdasan buatan (AI), dan DroneTech, inisiatif ini bertujuan untuk  meningkatkan produktiviti, kualiti, serta pendapatan, selain mengurangkan kos  operasi, mengoptimumkan perladangan, dan memupuk penyertaan selanjutnya.  

“Selain GROWMatch, saya berharap dapat melihat lebih banyak platform padanan sebegini merentas semua industri dan sektor. Platform seperti ini mencipta harapan, peluang baharu dan hasilnya memberi keupayaan untuk mengukuhkan lagi ekonomi  negara.  

"Mungkin Suruhanjaya Sekuriti Malaysia boleh mengembangkannya kepada PMKS di  luar bidang pertanian," katanya. 


16.8.2024_PR_PLATFORM PADANAN MAMPU MEMBANTU MEMPERLUASKAN SEKTOR PERTANIAN DAN DIGITAL NEGARA.pdf

0.21MB

Jata Negara

Ministry of Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Follow Us

All Rights Reserved © 2024