SINGAPURA, 16 Oktober 2024 – Dunia digital yang kita diami memperlihatkan sebuah rangkaian keterhubungan yang kompleks dan saling bergantung. Ia beroperasi dalam banyak peringkat – bukan sahaja dalam peranti yang berada di tangan kita, bahkan juga dalam ekosistem platform, aplikasi dalam talian dan perkhidmatan yang kini memudahkan dan memperkasakan kehidupan seharian kita. Oleh itu, menjamin kepercayaan digital bukan lagi satu pilihan. Ia merupakan satu kewajipan.
Berucap berkenaan tajuk ‘Kepercayaan dan Keselamatan dalam Era Digital' di Singapore International Cyber Week ke-9 2024 pada pembukaan dan majlis makan malam gala pada hari Isnin, Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa orang ramai meletakkan kepercayaan penuh terhadap peranti digital, aplikasi mudah alih, rangkaian dan kerajaan mereka untuk hidup dan bekerja dengan lancar dalam era baharu digital. Perjanjian antara individu dan kerajaan mereka dibina atas kepercayaan dan tanggungjawab bersama.
“Inilah sebabnya kepercayaan digital bukan sekadar isu teknikal; ia perlu dilihat sebagai isu sosial, yang perlu ditangani segera.”
Memetik peristiwa baru-baru ini seperti gangguan IT meluas akibat kemas kini perisian (software update) CrowdStrike dan serangan siber Change Healthcare di Amerika Syarikat, Gobind berkata adalah penting untuk mengukuhkan piawaian bagi memastikan peranti dan aplikasi mudah alih lebih selamat, serta membina ekosistem di sekelilingnya yang lebih menyakinkan.
Kita mesti memastikan sistem infrastruktur maklumat kritikal kita dipersiapkan dengan langkah-langkah yang mengurangkan risiko ini dan melindungi kita sambil teknologi baharu berkembang. Sebagai kerajaan, kita mesti mesti mempersiapkan negara, dan ASEAN sebagai sebuah rantau, untuk menghadapi cabaran ini.”
Gobind menekankan inisiatif Malaysia dalam mewujudkan kepercayaan digital, seperti penggubalan Akta Keselamatan Siber 2024; pindaan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010; dan Rang Undang-undang Perkongsian Data yang beliau jangka akan dibentangkan di Parlimen bulan depan.
“Undang-undang dan peraturan ini membentuk asas kepercayaan digital di Malaysia. Tetapi perlindungan dan keselamatan data bukanlah matlamat terakhir. Kita melindungi data kerana kita ingin menggalakkan penggunaannya. Data, akhirnya, adalah daripada rakyat dan untuk rakyat.”
Gobind juga menggesa kerjasama lanjut serantau dalam kalangan Negara Anggota ASEAN bagi mempertingkatkan kepercayaan digital serantau.
“Kesimpulannya, negara-negara ASEAN bersatu dalam tujuan yang sama: untuk membina ekosistem digital yang dipercayai bagi memberi manfaat kepada kita semua. Melalui inisiatif bersama, pengetahuan yang dikongsi dan rangka kerja kolaboratif, kita memperkukuh keselamatan siber serta tadbir urus data serantau. Ini bukan sekadar komitmen di atas kertas; ia merupakan usaha kolektif yang nyata untuk melindungi rakyat masing-masing, melindungi infrastruktur kita dan menggalakkan inovasi.”
Gobind berada di Singapura untuk lawatan kerja selama tiga hari, dari 14 ke 16 Oktober, 2024 untuk Singapore International Cyber Week (SICW) ke-9 dan Persidangan Menteri-menteri ASEAN mengenai Keselamatan Siber (ASEAN Ministerial Conference on Cybersecurity, AMCC) ke-9, yang merangkumi mesyuarat dua hala dengan rakan serantau dan global.