Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Dari Pelajar Ke Petani: Program Impak Tinggi NAIO Memberikan Latihan Kemahiran AI Kepada Semua Lapisan Rakyat

4 mins
·

KENYATAAN MEDIA

DARI PELAJAR KE PETANI: PROGRAM IMPAK TINGGI NAIO MEMBERIKAN LATIHAN KEMAHIRAN AI KEPADA SEMUA LAPISAN RAKYAT

KUALA LUMPUR, 3 MAC 2025 – Perkembangan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) mempunyai implikasi besar terhadap industri tenaga kerja bukan sahaja di Malaysia tetapi serata dunia.

Oleh yang demikian, Kementerian Digital melalui Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) telah merancang dan melaksanakan program-program berimpak tinggi. Ini termasuk latihan kemahiran AI melibatkan semua lapisan masyarakat, libat urus di antara sektor Kerajaan dan swasta dan kerjasama strategik merentasi sektor.

“Program kerjasama dengan pihak Microsoft iaitu AI for Malaysia's Future (AI-ForMY-Future), sebagai contoh, telah dilaksanakan bagi menyediakan platform kemahiran dan penghasilan bakat berkaitan AI. Program ini menyasarkan seramai 800,000 penyertaan dalam kalangan pekerja tempatan menerusi kerjasama rentas sektor,” kata Menteri Digital Gobind Singh Deo di Dewan Negara hari ini.

“Dalam merancakkan penerapan teknologi AI dalam sektor pertanian, ‘NAIO Lab’ telah diperkenalkan. Dilancarkan pada 6 Februari 2025, ‘NAIO Lab’ merupakan inisiatif hasil kolaborasi bersama Global AI Village (GAIV). AI "Rakan Tani" pula merupakan projek pertama dilancarkan di bawah inisiatif ini, bertujuan untuk membantu para petani meningkatkan produktiviti serta menjana pendapatan yang lebih tinggi.”

Tambah Gobind, ‘NAIO Lab’ menjangkakan lebih 450 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi AI dapat diwujudkan, sekaligus, memanfaatkan rakyat dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, pertanian dan pengangkutan.

“NAIO juga telah merangka inisiatif-inisiatif ke hadapan seperti pembentukan Kluster-Kluster AI Sektor dan Kumpulan Kerja yang terdiri daripada pakar bidang khusus. Inisiatif ini memfokuskan kerjasama rentas sektor Kementerian dalam mencari penyelesaian dan cadangan yang sesuai supaya isu dan cabaran berkaitan AI dapat dikenalpasti, di samping, meningkatkan produktiviti negara dari segi persaingan global dan ekonomi digital.

“Pihak Kementerian melalui NAIO juga berpotensi mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi bagi mewujudkan satu kolaborasi untuk bersamasama menyelaras dan melaksanakan inisiatif adaptasi AI seperti yang difokuskan kepada penekanan Digitalisasi Kampus, Penyediaan Bakat Terbaik Negara, Teknologi AI dan akses transformasi digital secara menyeluruh seiring dengan Pelan Pengajian Tinggi Malaysia 2025-2035.”

Pada masa yang sama, pihak NAIO juga telah merancang untuk bekerjasama dengan TalentCorp untuk membantu tenaga kerja dari segi penyediaan kemahiran AI mahupun pembangunan bakat AI.

“Kementerian Digital juga sedang menyediakan satu Kerangka Bakat Digital Negara yang menyeluruh dan holistik. Kerangka Bakat Digital Negara ini merupakan inisiatif strategik yang dirancang untuk mengembang, menyelaras serta memperkasa ekosistem bakat digital dalam negara.

“Kerangka ini memfokuskan kepada pemupukan bakat digital melalui pendidikan sepanjang hayat bermula dari pendidikan awal di peringkat sekolah rendah sehingga kepada peluang mengikuti program peningkatan kemahiran dan latihan semula yang bertujuan untuk mengemas kini pengetahuan dan kemahiran digital bagi memastikan ia sejajar dengan perkembangan teknologi dan memenuhi keperluan semasa industri.

“Dengan kerjasama penuh dari semua kementerian, institusi pendidikan, industri dan komuniti, Kerangka ini dijangka siap sepenuhnya pada bulan Jun 2025,” katanya lagi.

-TAMAT-

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Menteri Digital

Kementerian Digital


03032025_KENYATAAN MEDIA_PROGRAM IMPAK TINGGI NAIO MEMBERIKAN LATIHAN KEMAHIRAN AI KEPADA SEMUA LAPISAN RAKYAT.pdf

0.16MB

03032025_PRESS RELEASE_FROM STUDENTS TO FARMERS NAIO HIGH-IMPACT PROGRAM PROVIDES AI SKILLS TRAINING TO ALL SEGMENTS OF SOCIETY.pdf

0.12MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025