Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Empowerher Digital Perkasa Usahawan Wanita B40 Dalam Ekonomi Digital

4 mins
·

SIARAN MEDIA

EMPOWERHER DIGITAL PERKASA USAHAWAN WANITA B40 DALAM EKONOMI DIGITAL

KUALA LUMPUR, 6 Mac 2025 – Program EmpowerHER Digital, inisiatif Kementerian Digital yang dipacu oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Digital Nasional Berhad (DNB) dengan sokongan SMECorp Malaysia, telah dilancarkan bagi memperkasa wanita B40 dengan kemahiran digital serta akses pasaran untuk menjana pendapatan dan membina perniagaan yang mampan dalam ekonomi digital.

Sebagai sebahagian daripada usaha merapatkan jurang digital, program ini menawarkan bengkel interaktif, sesi perkongsian industri, dan pameran mini yang memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari strategi perniagaan digital, penjenamaan atas talian, serta pembiayaan dan akses pasaran. Antara rakan industri utama yang terlibat termasuk Shopee, TikTok, CGC Digital, dan Pixlr.

Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo, dalam ucapannya menegaskan kepentingan memperluaskan program ini ke lebih banyak negeri supaya lebih ramai wanita, termasuk di luar bandar, dapat menikmati manfaat ekonomi digital. “Transformasi digital mesti bersifat inklusif dan membuka peluang kepada semua, terutama kumpulan B40. Inisiatif seperti EmpowerHer Digital memainkan peranan penting dalam memastikan wanita Malaysia bukan sahaja celik teknologi tetapi juga mampu bersaing dalam ekonomi digital yang pesat berkembang” ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil, berkata, "EmpowerHer Digital bukan sekadar latihan, tetapi satu gerakan untuk membina ekosistem sokongan yang mampan. Program ini membekalkan wanita B40 dengan kemahiran digital, akses pasaran, dan bimbingan mentor agar mereka dapat membina perniagaan yang berdaya saing. Sebagai pemudah cara ekonomi digital negara, MDEC memastikan wanita bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi juga penggerak inovasi dalam ekonomi digital."

Selain latihan praktikal, program ini turut menampilkan sesi sembang santai bersama Amutha Subramaniam, Pengasas Hers Manufacturing, Wei Yein, Pengasas Bersama Craftiviti, dan Puan Nur Adila Binti Manshor, Pengasas Rayhanah Malaysia, yang berkongsi pengalaman mereka dalam membina perniagaan digital serta bagaimana teknologi telah membantu meningkatkan daya saing mereka.

Menurut data daripada Belanjawan 2021, terdapat jurang yang ketara antara peniaga lelaki dan wanita di platform e-dagang, dengan 654,530 peniaga lelaki berbanding hanya 280,100 peniaga wanita yang direkodkan pada tahun tersebut. Ini menunjukkan keperluan untuk inisiatif yang dapat menggalakkan lebih ramai wanita melibatkan diri dalam sektor e-dagang. Pelancaran EmpowerHer Digital 2025 mencerminkan komitmen kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta dalam memperkasakan wanita dalam ekosistem digital. Dengan lebih banyak peluang dalam keusahawanan digital, program ini bukan sahaja membantu meningkatkan daya saing wanita B40, tetapi juga menyumbang kepada kestabilan ekonomi diri, keluarga, dan komuniti secara keseluruhan.

#TAMAT#

Dikeluarkan oleh:

Unit Komunikasi Korporat

Kementerian Digital


06032025_KENYATAAN MEDIA_EMPOWERHER DIGITAL PACU KEMAHIRAN DIGITAL WANITA B40 JANA PENDAPATAN DALAM EKONONOMI DIGITAL.pdf

0.15MB

06032025_PRESS RELEASE_EMPOWERHER DIGITAL EMPOWERS B40 WOMEN ENTREPRENEURS IN THE DIGITAL ECONOMY.pdf

0.12MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025