Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Industri Permainan Digital Malaysia Mencatat Hasil Jualan Dan Eksport Rm45 Juta Dana Yang Disediakan Oleh Kerajaan

4 mins
·

INDUSTRI PERMAINAN DIGITAL MALAYSIA MENCATAT HASIL JUALAN DAN EKSPORT RM45 JUTA DANA YANG DISEDIAKAN OLEH KERAJAAN

KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2024 – Hasil permainan global dianggarkan bernilai USD187.7 bilion pada tahun 2024, menurut laporan Pasaran Permainan Global Newzoo. Angka tersebut dijangka akan meningkat sehingga USD213.3 bilion pada tahun 2027 dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 3.1 peratus (2022-2027).

Malaysia tidak ketinggalan dalam industri kreatif digital yang pesat berkembang. Menurut Menteri Digital Gobind Singh Deo, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah menerima peruntukan Dana Kandungan Digital sebanyak RM163 juta dari tahun 2014 sehingga 2024 bagi menjalankan dan menyelia bantuan kewangan kepada industri animasi, permainan digital, komik digital dan juga kandungan teknologi kreatif.

“Sehingga kini, sebanyak 60 buah projek telah diluluskan oleh MDEC dengan jumlah keseluruhan dana sebanyak RM36.7 juta bagi pembangunan permainan digital, meliputi platform komputer, konsol dan mudah alih. Kesemua projek ini juga telah berjaya mewujudkan lebih daripada 700 peluang pekerjaan,” kata Gobind.

Antara permainan digital tempatan yang telah menerima bantuan Dana Kandungan Digital daripada MDEC adalah Tiny Guardians oleh Kurechii Sdn. Bhd.; Re-Legend oleh Magnus Games Studio Sdn. Bhd.; No Straight Road oleh Metronomik Sdn. Bhd.; Rhythm Doctor oleh 7th Beat Games Sdn. Bhd.; dan Giga Bash oleh Passion Republic Games Sdn. Bhd.

Dalam menjawab pertanyaan lisan Syahredzan bin Johan (PH-Bangi), Gobind berkata: “Industri permainan digital Malaysia telah mencatat hasil jualan dan eksport sebanyak RM45 juta melalui dana yang telah disediakan oleh pihak Kerajaan. Ini sekaligus membuktikan bahawa industri permainan digital di Malaysia memiliki potensi yang besar untuk dimajukan melalui sokongan daripada Kerajaan dalam akses pasaran, inkubator, persidangan, bengkel, program upskilling dan reskilling dan lain-lain.”

Bagi meningkatkan promosi dan pemasaran permainan digital tempatan, MDEC juga telah menyediakan platform dan peluang bagi syarikat-syarikat untuk meneroka akses pasaran. Antara pasaran permainan digital yang sering disertai termasuk Games Developer Conference di Amerika Syarikat, Tokyo Game Show di Jepun, China Joy di China dan Gamescom di Eropah.

“Syarikat-syarikat permainan digital juga berpeluang untuk mempromosikan produk mereka serta menjalinkan hubungan perniagaan dengan penerbit dan pengedar permainan digital di peringkat serantau dan antarabangsa. Permainan digital tempatan turut dipromosikan dalam acara-acara tempatan seperti Jelajah Saya Digital, Malaysia Digital Content Festival, Comic Fiesta dan sebagainya. Malaysia Digital Content Festival yang merangkumi Level Up KL, Kre8tif! dan IMMERSE KL merupakan acara tahunan penting bagi rangkaian perniagaan industri kandungan digital di Malaysia dan rantau Asia Tenggara,” kata Gobind.

Animasi juga merupakan salah satu komponen penting dalam produksi permainan digital yang didukung oleh Kementerian Digital melalui MDEC.

“Terdapat beberapa syarikat animasi yang telah berjaya dalam bidang ini, dan salah satu daripadanya adalah Kucingko Berhad. Ia merupakan syarikat produksi animasi tempatan pertama yang disenaraikan di Bursa Malaysia pada bulan Julai 2024,” tambah Gobind.

-TAMAT-


28.10.2024_PR_ INDUSTRI PERMAINAN DIGITAL MALAYSIA MENCATAT HASIL JUALAN DAN EKSPORT RM45 JUTA DANA YANG DISEDIAKAN OLEH KERAJAAN.pdf

0.18MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2024