Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Koleksi Ucapan

Jelajah Digital: 5G Enabled Agritech

8 mins
·

SALUTASI

1. Yang Berhormat Puan Young Syefura Othman

Ahli Parlimen Bentong

2. Yang Berusaha Encik Shakib Ahmad Shakir Jamaluddin

Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Digital

3. Yang Berbahagia Datuk Azman Ismail

Ketua Pegawai Eksekutif, Digital Nasional Berhad

4. Yang Berhormat Ho Chi Yang

ADUN Tanah Rata

5. Yang Berhormat Tengku Zulpuri Shah Raja Puji

ADUN Tras

6. Yang Berhormat Woo Chee Wan

ADUN Mentakab

7. Yang Berhormat Su Keong Siong

ADUN Ketari

Pemimpin serta Wakil Industri dan Komuniti,

Rakan - Rakan Media,

Hadirin Yang Dihormati Sekalian.

Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.

1. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada YB Puan Young Syefura kerana menjemput saya ke sini. Terima kasih juga kepada Datuk Azman dan pasukan DNB kerana menganjurkan program yang amat bermakna ini. Saya amat berbesar hati dapat berhubung dengan komuniti Bentong hari ini dan berkongsi visi Kementerian Digital untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara Digital.

2. Seperti yang kita semua tahu, Bentong terkenal bukan sahaja di kalangan rakyat Malaysia tetapi juga di kalangan pelancong dari jauh, yang datang ke daerah ini untuk meneroka budaya dan alam semula jadinya. Bandar ini terkenal dengan pelbagai daya tarikannya, penduduk yang mesra, bangunan-bangunan lama, kedai-kedai pra-perang yang berusia 120 tahun, dan tempat-tempat pelancongan lain.

3. Bentong adalah satu tempat yang memberikan kedamaian dan ketenangan, tetapi yang lagi penting, ia terkenal dengan tanah suburnya yang telah menghasilkan halia, serta kebun sayur-sayuran dan buah-buahan, terutamanya durian. Tuan-tuan dan Puan-puan,

4. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi salah satu keutamaan Kementerian saya – iaitu memastikan Malaysia dilengkapi dengan infrastruktur digital yang kukuh, yang merupakan keperluan untuk mewujudkan negara yang terhubung.

Infrastruktur digital yang baik, bila diadun dengan tahap kepercayaan tinggi melalui keselamatan siber disamping dipacu oleh bakat-bakat digital kita, bakal membina sebuah ekosistem digital yang kukuh, yang dapat melonjakkan negara terus ke hadapan.

5. Di beberapa negara lain, pembangunan teknologi digital 5G telah pun bermula pada sekitar tahun 2019. Perkembangan ini membawa perubahan besar dalam komunikasi mudah alih dan membuka kemungkinan untuk Internet of Things (IoT), Robotik, dan Kecerdasan Buatan (AI).

6. Malaysia mungkin bermula agak lewat dalam hal ini, menerusi Digital Nasional Berhad yang melancarkan rangkaian 5Gnya bermula pada tahun 2021. Walau bagaimanapun, pelaksanaan rangkaian 5G Malaysia amat pantas, dan rangkaian kita kini merupakan salah satu yang terbaik di dunia.

7. DNB mencapai sasaran liputan 80% kawasan berpenduduk dalam masa dua tahun semenjak khidmat 5G ditawarkan di Malaysia pada Disember 2021, iaitu setahun lebih awal daripada jadual. Rangkaian ini juga telah memenangi pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat global daripada platform seperti Glotel, FutureNet, dan Ookla untuk prestasi dan kebolehpercayaannya.

8. DNB kini menumpukan perhatian untuk menutup jurang digital dengan meningkatkan kualiti rangkaian dan sentiasa berinovasi untuk memperbaiki pengalaman pelanggan mereka. Kementerian 4 saya akan terus menyokong DNB dalam usaha mereka untuk membawa kesalinghubungan bertaraf dunia kepada rakyat Malaysia di seluruh negara.

9. Sehingga Januari 2025, rangkaian 5G di Bentong mempunyai liputan kawasan berpenduduk (atau CoPA) sebanyak 72.3%. Ini, selain daripada kesalinghubungan digital yang diaktifkan oleh inisiatif lain di bawah program Jendela, bukan sahaja membawa peningkatan kualiti internet secara amnya, tetapi juga memperkasakan perniagaan kecil seperti kedai kopi, restoran, dan peruncit PKS untuk mengguna pakai penyelesaian digital, seperti transaksi tanpa tunai, e-dagang, dan pemantauan inventori yang didayakan AI.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

10. Pengembangan liputan 5G di Pahang, yang kini berada pada 66.4% CoPA, selain daripada penyumbang lain seperti rangkaian logistik yang baik, telah menyediakan asas untuk aspirasi digital dan teknologi negeri Pahang. Ini termasuk matlamat negeri untuk menjadi hab pemasangan dan pembuatan kenderaan elektrik (EV) di Pantai Timur, menurut laporan MIDA yang diterbitkan pada bulan Disember lalu.

11. Menyusuri gelombang EV global, daerah Bentong telah dipilih sebagai daerah perintis untuk pembinaan stesen pengecasan pertama di negeri ini, daripada 50 stesen yang dirancang di seluruh Pahang.

12. Dengan para pemerhati menjangkakan pasaran EV di Malaysia akan melihat peningkatan dalam jualan pada tahun 2025, negeri ini berada dalam kedudukan yang tepat untuk mengambil kesempatan daripada perubahan dalam pasaran automotif ini, membawa kemakmuran ekonomi kepada rakyat Pahang.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

13. Dalam sektor pertanian, pada tahun lepas, Malaysia menyaksikan sebuah syarikat permulaan tempatan (BoomGrow Production Sdn Bhd) mengintegrasikan kesalinghubungan 5G, AI, dan Augmented Reality dengan teknologi pertanian tepat, membuka jalan ke arah amalan pertanian dan pengeluaran makanan yang lestari.

14. Kerjasama strategik ini, dengan pengendali rangkaian mudah alih CelcomDigi membolehkan pemantauan masa nyata (real-time monitoring), kawalan tepat (precision control) terhadap persekitaran pertanian, serta predictive analytics untuk meningkatkan hasil tanaman dan kecekapan sumber keseluruhan. Walaupun 4G membolehkan beberapa tahap automasi sebelum ini di banyak ladang mereka, kesalinghubungan 5G telah membolehkan Syarikat BoomGrow melakukan analisis data masa nyata untuk membuat ramalan mengenai pertumbuhan tumbuhan, kesihatan tumbuhan, pengurusan hasil, dan kandungan nutrien, disokong oleh model pembelajaran mesin dan AI.

15. Petani di Bentong boleh memanfaatkan teknologi 5G untuk menambahbaik kecekapan operasi dan meningkatkan hasil tanaman. Dengan penyelesaian pertanian pintar, pemilik ladang 6 sayur-sayuran dan durian boleh mengurangkan pembaziran sumber dan kos serta membuat keputusan yang lebih baik apabila menilai risiko dalam penanaman tanaman, yang akhirnya membantu meningkatkan hasil mereka. Ini sudah semestinya membawa manfaat besar bukan hanya kepada pemilik ladang bahkan kepada para pengguna serta ekonomi negara.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

16. Sebagai penutup, dalam landskap teknologi yang sentiasa berkembang pesat hari ini, transformasi digital amatlah kritikal untuk memastikan perniagaan kekal berdaya maju. Walaupun Bentong mungkin terkenal sebagai sebuah bandar yang tenang dan damai, namun saya dapat melihat potensi yang baik untuk ekonomi kawasan ini berkembang dengan mengambil peluang yang dapat dijana oleh kemajuan digital. Begitu juga untuk negeri Pahang. Yang penting kita bersama dalam membawa perubahan dan pembaharuan yang dicetus oleh teknologi dan pendigitalan.

17. Dengan itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, atas kehadiran dan penglibatan anda dalam program hari ini. Saya turut ingin mengucapkan Ramadan Mubarak kepada rakan-rakan Muslim semua; semoga kita semua kekal sihat dan bahagia selalu. Sekian, terima kasih.

#TAMAT#


10032025_TEKS UCAPAN_JELAJAH DIGITAL 5G ENABLED AGRITECH.pdf

0.19MB

10032025_SPEECH_JELAJAH DIGITAL 5G ENABLED AGRITECH.pdf

0.17MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025