KENYATAAN MEDIA
MALAYSIA TEGUHKAN HUBUNGAN DIGITAL MELALUI KEUTAMAAN AI, KESELAMATAN SIBER DAN INOVASI DI ADGMIN 2025
KUALA LUMPUR, 15 Januari 2025 – Menteri Digital, Tuan Gobind Singh Deo akan menghadiri Mesyuarat Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) ke-5 dari 15 hingga 17 Januari di Bangkok, Thailand, yang mana akan menumpukan kepada tadbir urus kecerdasan buatan (AI), rangka kerja privasi rentas sempadan, keselamatan siber dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA).
Tuan Gobind Singh Deo menekankan kepimpinan negara dalam membentuk masa depan digital ASEAN apabila Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada tahun 2025. “Mesyuarat ini penting untuk menetapkan asas bagi memperkukuh ekosistem digital ASEAN dan bersiap sedia untuk masa depan berasaskan AI,” kata Gobind, sambil mengetengahkan peranan Malaysia dalam memacu perbincangan mengenai keselamatan siber, keselamatan AI, dan infrastruktur pusat data.
ADGMIN yang bertemakan “Selamat, Inovatif, Inklusif: Membentuk Masa Depan Digital ASEAN”, sejajar dengan visi strategik Malaysia untuk meletakkan negara ini sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital.
Gobind menyatakan komitmen negara untuk meningkatkan infrastruktur, membina daya tahan siber, dan memupuk bakat tempatan bagi mencapai ekosistem digital yang kukuh.
Agenda Malaysia untuk ASEAN 2025 memberi tumpuan kepada lima bidang utama:
1. AI dan Data – Memajukan tadbir urus, penyelidikan, dan aplikasi AI serta data besar.
2. Keselamatan Siber – Memperkukuh daya tahan dan kerjasama rentas sempadan untuk menangani ancaman.
3. Bandar AI – Mempercepat pembangunan ekosistem bandar lestari yang didayakan teknologi.
4. Teknologi Kerajaan (GovTech) – Meningkatkan kecekapan, ketelusan, dan penyampaian perkhidmatan awam melalui inovasi digital.
5. Kreativiti Digital – Meningkatkan kehadiran rantau ini dalam permainan, animasi, dan seni digital.
Malaysia akan menganjurkan sembilan (9) acara utama termasuk Sidang Kemuncak AI Malaysia (Jun), Sidang Kemuncak Keselamatan 5G & IoT ASEAN (Ogos), Ekspo Bandar Pintar Kuala Lumpur (September), Sidang Kemuncak SmartGov (Oktober), dan Level Up KL | Play 2025 (November), bertujuan menarik pelaburan, menggalakkan inovasi, dan membina rangkaian di seluruh rantau.
Semasa mesyuarat tersebut, Gobind akan mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Ekonomi Digital dan Masyarakat Thailand, Prasert Jantararuangtong; Setiausaha Agung ASEAN Dr. Kao Kim Hourn; dan Brian McFeeters, Naib Presiden Kanan Majlis Perniagaan AS-ASEAN.
Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Negara Anggota ASEAN, Rakan Dialog dan Pembangunan dari Indonesia, China, Jepun, Republik Korea, dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), serta mengambil bahagian dalam sesi dialog ADGMIN dengan rakan utama, termasuk China, Jepun, Republik Korea, Amerika Syarikat, dan India.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia bersedia untuk menerajui inisiatif yang memacu inovasi, memperkukuh kepercayaan digital, dan mewujudkan ekonomi digital yang lebih inklusif untuk rantau ini.
-TAMAT-
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Menteri Digital.