SIARAN MEDIA
MALAYSIA, UAE DAN RWANDA BERUSAHA MENINGKATKAN PENGGUNAAN AI, MENJAMBATANI JURANG ANTARA PENERAJU AI DUNIA
DUBAI, 24 April 2025 – Malaysia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan Rwanda telah bersetuju untuk memperkukuh penyelarasan usaha dalam meningkatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI) di negara-negara Selatan Global.
Di bawah rangkaian global Centre for the Fourth Industrial Revolution (C4IR), ketiga-tiga negara akan bekerjasama untuk mempromosi etika dan tadbir urus AI bagi membantu masyarakat dan ekonomi di rantau ini memanfaatkan potensi teknologi ini.
Usaha ini dimeterai melalui pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung semalam antara Dubai Future Foundation (entiti sah bagi C4IR UAE), C4IR Rwanda, dan MyDigital Corporation, sebuah agensi di bawah Kementerian Digital Malaysia. Perkongsian strategik ini diumumkan sempena Minggu AI Dubai yang sedang berlangsung.
Menteri Digital, YB Tuan Gobind Singh Deo berkata, Malaysia berbangga untuk bekerjasama dengan UAE dan Rwanda dalam inisiatif berwawasan ini yang bertujuan menjambatani kepakaran global dalam bidang AI dan mempercepatkan transformasi digital ke arah masa depan yang lebih inklusif dan lestari.
“Perkongsian ini mencerminkan hasrat bersama Malaysia, UAE, dan Rwanda untuk membentuk masa depan yang dipacu oleh inovasi AI yang bertanggungjawab,” kata beliau.
“Kami berharap Program Persekutuan AI C4IR yang terhasil daripada kerjasama ini akan menjadi jambatan penting yang menghubungkan peneraju dan pakar AI di seluruh benua. Dengan berkongsi ilmu, bertukar kepakaran, dan mencipta penyelesaian bersama, kami berazam untuk menangani cabaran kritikal dan memanfaatkan potensi besar AI demi manfaat negara masing-masing dan komuniti global secara keseluruhannya.”
Selepas pemeteraian MoU ini, ketiga-tiga negara bersetuju untuk memperluaskan skop Program Persekutuan AI C4IR, yang sebelum ini hanya melibatkan UAE dan Rwanda semasa Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2024 di Davos. Platform pertukaran ilmu ini diwujudkan untuk menghubungkan pemimpin, inovator dan pakar dalam bidang AI.
Dengan penyertaan Malaysia, perkongsian yang diperluas ini akan memacu kerjasama antarabangsa yang lebih meluas bagi menyokong pembangunan mampan melalui AI. Inisiatif ini akan merangkumi pertukaran bakat, usaha bersama, serta pembangunan rangka kerja tadbir urus AI yang bertanggungjawab, yang diterajui oleh negara-negara Selatan Global.
#TAMAT#
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Menteri
Kementerian Digital, Malaysia