KENYATAAN MEDIA
AKADEMI KESELAMATAN SIBER MALAYSIA AKAN MULA BEROPERASI PADA TAHUN HADAPAN (2025)
CyberSecurity Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Digital, akan menubuhkan Akademi Keselamatan Siber Malaysia, sepertimana yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 23 September yang lalu. Langkah ini mendukung aspirasi Kementerian Digital untuk memperbanyakkan lagi bakat digital, terutamanya dalam bidang keselamatan siber.
Akademi ini akan mengisi kekosongan tenaga kerja mahir bidang keselamatan siber dengan menawarkan kursus yang berpaksikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Ia juga akan berfungsi sebagai pusat pembangunan kapasiti keselamatan siber negara, di mana akademi tersebut akan menilai kepakaran, menyelaras penyelidikan, serta membangunkan keupayaan keselamatan siber secara menyeluruh dan berterusan. Ia juga akan memperkukuh keberkesanan negara dan industri dalam menangani isu-isu keselamatan siber.
Akademi ini juga akan membangunkan bakat keselamatan siber TVET bertaraf antarabangsa, dengan matlamat untuk mentransformasikan Malaysia menjadi hab keselamatan siber global, serta mempromosi penerapan nilai dan etika murni dalam keselamatan siber bagi memperkukuhkan disiplin kendiri individu terhadap ancaman teknologi digital. Ia juga merangkumi pelaksanaan strategi pemasaran dan pensijilan profesional untuk memperkukuhkan kerjasama antarabangsa.
Akademi Keselamatan Siber Malaysia akan berfungsi sebagai pusat pembangunan kapasiti keselamatan siber TVET premier, khusus untuk penjawat awam, tenaga kerja industri, dan akademia. Akademi ini akan menawarkan program pensijilan jangka pendek dan sederhana, termasuk program micro-credential dan nano-credential, serta menyediakan silibus keselamatan siber yang boleh digunapakai oleh universiti, politeknik, dan kolej tempatan.
Jumlah keperluan tenaga kerja keselamatan siber di Malaysia dijangka akan meningkat kepada 26,430 pada penghujung tahun 2025 dan seterusnya kepada 28,068 pada tahun 2026. Ini berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), serta Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) pada tahun 2023. Sehingga Julai 2024, CyberSecurity Malaysia telah merekodkan sebanyak 16,765 tenaga kerja yang berpengetahuan dalam bidang keselamatan siber.
Akademi ini akan memberi tumpuan terhadap beberapa bidang kritikal seperti Pengendalian dan Tindak Balas Insiden, Tadbir Urus Keselamatan Siber, Jaminan dan Penilaian Keselamatan, Forensik Digital, serta Kriptografi.
Sebagai peneraju pembangunan kapasiti keselamatan siber negara, CyberSecurity Malaysia yang diiktiraf sebagai Badan Peneraju Industri (Industry Lead Body) Bidang Keselamatan Siber di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan selaku ketua kumpulan kerja Teknikal dan Teknologi Keselamatan Siber (TTWG) di bawah Malaysia Board of Technologists (MBOT), akan mentransformasikan program Pembangunan Profesional Keselamatan Siber sedia ada, menjadi Akademi Keselamatan Siber Malaysia.
Akademi ini akan mula beroperasi pada suku kedua tahun hadapan (2025).
GOBIND SINGH DEO
MENTERI DIGITAL
26 SEPTEMBER 2024