SIARAN MEDIA
MALAYSIA MENJALIN KERJASAMA DENGAN SURUHANJAYA PEMBANGUNAN DAN PEMBAHARUAN NEGARA CHINA UNTUK MEMPERKUKUH AI DAN EKONOMI DIGITAL
PUTRAJAYA, 17 April 2025 – Malaysia telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara Republik Rakyat China (NDRC) – satu bagi mempromosi dan membangunkan ekonomi digital kedua-dua negara; dan satu lagi untuk memperkukuh kerjasama dalam teknologi kecerdasan buatan (AI).
Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) tersebut telah berlangsung semalam, di mana Menteri Digital, Tuan Gobind Singh Deo mewakili Malaysia, manakala pihak NDRC diwakili oleh Pengerusinya, Zheng Shanjie. Majlis itu telah disaksikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden China, Xi Jinping.
Bagi MoU berkaitan ekonomi digital, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam beberapa aspek termasuk penyelarasan dasar dan peraturan; transformasi digital industri; inovasi teknologi digital; dan pembangunan bakat.
Kerjasama ini juga akan melibatkan pelaksanaan projek tertentu antara Malaysia dan NDRC bagi menggalakkan kerjasama antara bandar dan perusahaan. Satu ‘Kumpulan Kerja Bersama mengenai Ekonomi Digital’ akan ditubuhkan, yang terdiri daripada wakil Pentadbiran Data Negara China dan Kementerian Digital Malaysia.
Bagi MoU berkaitan AI pula, kedua-dua pihak akan berusaha memperkukuh teknologi ini melalui program pertukaran teknikal; meneroka kerjasama dalam pengukuhan infrastruktur AI (termasuk pembangunan set data dan kemudahan AI lain); pertukaran garis panduan etika AI dan perkongsian pengalaman bagi memajukan penggunaan AI dalam pembangunan ekonomi dan sosial di kawasan terpilih; meneroka pendekatan untuk menangani risiko keselamatan AI; serta meningkatkan literasi awam mengenai pengetahuan dan kemahiran profesional berkaitan AI.
Kedua-dua MoU ini merupakan sebahagian daripada 31 perjanjian yang dimeterai antara Malaysia dan China.
Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), sebuah agensi di bawah Kementerian Digital, dan Universiti Zhejiang China juga akan menjalin kerjasama susulan penandatanganan Letter of Intent (LOI) antara keduadua pihak. MDEC dan Universiti Zhejiang akan membangunkan dan mewujudkan kerjasama dalam bidang transformasi digital, AI dan bandar pintar.
Universiti Zhejiang terkenal kerana melahirkan pelopor masa hadapan berdasarkan Model Zhejiang. Institusi pengajian tinggi ini telah melahirkan ramai inovator dan usahawan terkemuka seperti pengasas DeepSeek Liang Wenfeng; pengasas DEEP Robotics, Zhu Qiuguo; serta Huang Xiaohuang dan Chen Hang, duo di sebalik Manycore Tech.
Model Zhejiang dalam pembangunan digital merujuk kepada pendekatan menyeluruh yang diterajui oleh Wilayah Zhejiang yang mengintegrasikan teknologi digital dalam tadbir urus, ekonomi dan masyarakat melalui perancangan strategik jangka panjang, pembaharuan yang dipacu kerajaan serta kerjasama awam-swasta.
“Penandatanganan dua MoU dan LOI ini adalah langkah ke arah yang betul dalam usaha kita mempercepatkan transformasi digital Malaysia. Ini selari dengan aspirasi Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar dan Kerajaan MADANI,” kata Gobind.
“Kerjasama yang bersifat praktikal dalam infrastruktur digital, AI, inovasi teknologi, pembangunan dan penggunaan data, pertumbuhan industri digital dan pertukaran bakat adalah penting untuk memastikan ekosistem digital Malaysia lengkap dari semua aspek – termasuk infrastruktur, keselamatan siber dan tenaga kerja – bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi ekonomi digital yang pesat berkembang,” tambahnya.
Memandangkan Malaysia merupakan Pengerusi ASEAN tahun ini, Gobind berkata kerjasama dengan NDRC dan Universiti Zhejiang akan menyokong usaha negara dalam menerajui perbincangan dan inisiatif digital serantau, termasuk apabila negara menjadi tuan rumah kepada Smart City Expo Kuala Lumpur yang julung kali diadakan pada bulan September.
#TAMAT#
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Menteri
Kementerian Digital, Malaysia