Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Koleksi Ucapan

Pelancaran Festival Kandungan Digital Malaysia (MYDCF) & Karnival Antarabangsa MyDigitalMaker

8 mins
·

SALUTASI

1. Yang Berusaha Tuan Fabian Bigar Ketua Setiausaha, Kementerian Digital

2. Yang Berhormat Tuan Syed Ibrahim Syed Noh Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)

3. Yang Berusaha Tuan Zainal bin Abas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Kementerian Pendidikan Malaysia

Pihak berkepentingan,

pemimpin industri,

ahli akademik,

Para Media dan Hadirin Sekalian.

Selamat petang, salam sejahtera dan salam Malaysia MADANI.

1. Saya berasa amat berbesar hati untuk berada di sini pada hari ini, untuk melancarkan Festival Kandungan Digital Malaysia (MYDCF) dan Karnival Antarabangsa MyDigitalMaker. Ini merupakan dua platform yang bukan sahaja menjadi medan untuk mempamerkan bakat dan inovasi tempatan, tetapi juga menjadi pemangkin transformasi digital yang lebih meluas di Malaysia.

2. Sejak tahun 2019, MYDCF telah menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan. Ia menghubungkan industri utama seperti animasi, permainan digital dan konvensional, teknologi kreatif, komik, dan e-sukan di bawah jenama kandungan seperti IMMERSE KL, LEVEL UP KL, dan Kre8tif!. Tahun ini, buat pertama kalinya, MYDCF akan berlangsung seiring dengan Karnival Antarabangsa MyDigitalMaker, sebuah acara tahunan yang direka khas untuk pelajar dan guru untuk mempamerkan projek inovasi sains dan teknologi mereka.

3. Kedua-dua platform ini menawarkan peluang yang unik untuk menghubungkan pelbagai pihak berkepentingan dalam ekosistem digital, termasuk pelajar, guru, pencipta kandungan dan syarikat teknologi bagi berkongsi idea, membina jaringan, dan membangunkan landskap digital yang lebih maju serta berdaya saing di Malaysia.

4. Saya turut dimaklumkan, bagi penganjuran Karnival Antarabangsa MyDigitalMaker pada tahun ini, terdapat beberapa pertandingan yang akan diadakan. Antaranya adalah Battle of Digital Ninja Programme, INTEL Geek Kids Competition oleh INTEL, Pertandingan F1 in Schools Malaysia, Todak Digital Creators Competition oleh Todak Academy, Fashion Technology Competition oleh Aiszzy Electronics, serta Bengkel Canva District Certification oleh Canva Australia kepada guru-guru sekolah.

Para hadirin sekalian,

5. Malaysia berhasrat untuk mencipta masa depan digital yang lebih mampan, selaras dengan visi dan misi negara untuk menjadi destinasi utama transformasi digital di rantau ini. Aspirasi ini seiring dengan arus pendigitalan global yang semakin pesat, di mana teknologi digital bukan sahaja mengubah landskap ekonomi, tetapi juga cara kita berinteraksi, bekerja dan menjalankan perniagaan.

6. Inovasi dan pembangunan bakat yang menyeluruh adalah kunci utama untuk mencapai visi dan misi tersebut. Inisiatif seperti MYDCF dan MyDigitalMaker merupakan antara beberapa langkah proaktif yang diambil untuk memastikan inovasi, kreativiti dan bakat dapat terus berkembang di kalangan rakyat Malaysia.

7. Dengan memberi tumpuan kepada inovasi dan pembangunan bakat, kita dapat mempersiapkan generasi muda untuk memacu ekonomi digital di Malaysia yang dijangka akan menyumbang kepada 25.5% kepada KDNK Malaysia menjelang 2025. Saya yakin dengan inisiatif berterusan seperti MYDCF dan MyDigitalMaker ini, kita mampu mengukuhkan lagi ekonomi digital tempatan dengan membuka lebih banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan daya saing global.

8. Selain itu, pertumbuhan bakat dan inovasi juga membuka peluang untuk kerjasama strategik antara syarikat teknologi global, inovator tempatan, dan pembuat dasar. Ini membolehkan kita mengakses teknologi terkini, amalan terbaik, dan sumber daya yang dapat mempercepatkan transformasi digital negara.

9. Suka untuk saya kongsikan juga, pasaran kandungan kreatif dunia dijangka mencecah RM 3.1 trilion atau USD 687.4 bilion menjelang 2027 dengan kadar pertumbuhan tahunan CAGR sebanyak 9.97% antara 2020 dan 2027. Sektor ini meliputi pelbagai bidang termasuk filem, televisyen, permainan video, media sosial, dan platform penstriman.

10. Industri permainan video atau e-sukan di Malaysia dijangka menjana pendapatan kira-kira RM3 bilion atau USD 649 juta. Dengan bilangan pemain yang semakin meningkat, Malaysia muncul sebagai pemain utama dalam pasaran permainan global dan lebih dua pertiga daripada 34.1 juta penduduk di Malaysia, sekitar 22.5 juta adalah pemain aktif. Hampir separuh daripadanya (sekitar 9.7 juta) adalah pengguna berbayar.

11. Industri ini dijangka dapat mengekalkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 7.55% sehingga 2027. Pertumbuhan ini dipacu oleh penggunaan telefon pintar yang meluas, jaringan internet yang stabil, dan populariti e-sukan yang semakin meningkat.

12. Industri kandungan digital di Malaysia mempunyai tenaga pekerja seramai kira-kira 10,000 profesional, dengan lebih 300 studio menyumbang kepada ekosistem ini.

13. Malaysia telah berjaya menarik pelaburan daripada beberapa studio berskala besar seperti Electronic Arts/Codemasters, Streamline Studios, Bandai Namco, Playstation Studios, Larian Studios dan Virtuous.

4. Sektor ini menawarkan potensi besar dalam pengembangan ekonomi dan kreativiti, dengan sokongan daripada kerajaan melalui inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan oleh MDEC dan secara tidak langsung memudahkan untuk jalinan kerjasama di peringkat global.

Para hadirin yang dihormati,

15. Dengan menggabungkan semua elemen ini, kita bukan sahaja memacu ekonomi digital tetapi juga memastikan Malaysia terus kekal berada di barisan hadapan dalam inovasi dan teknologi di peringkat global.

16. Saya berharap agar inisiatif-inisiatif seperti ini dapat diteruskan dengan komitmen yang tinggi supaya negara ini tidak ketandusan bakat dan inovasi yang diperlukan untuk mendorong ekonomi digital Malaysia bergerak maju ke hadapan. Saya juga berharap agar program-program yang berkaitan dengan kandungan digital diperluaskan di sekolah-sekolah, dari Kangar hingga ke Kota Kinabalu. Agensi-agensi di bawah Kementerian Digital bersedia untuk membantu pihak Kementerian Pelajaran dalam menjayakan inisiatif-inisiatif sebegini.

17. Pihak Kementerian Digital juga bersedia untuk membantu Kementerian Pendidikan memperkasakan lagi Dasar Pendidikan Digital untuk melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing. Ini sudah tentunya akan memperbanyakkan lagi tenaga pekerja digital tempatan untuk masa hadapan.

18. Saya juga berharap agar rakyat Malaysia dapat memanfaatkan platform yang disediakan untuk mempamerkan kemampuan mereka dalam persaingan secara sihat dan kompetitif untuk memangkin landskap digital negara.

19. Dengan ekosistem industri yang dinamik, di mana inovasi dan kreativiti berkembang pesat, serta bakat yang cemerlang dari segenap lapisan masyarakat, saya yakin kita berada di landasan yang tepat untuk mencapai matlamat ini.

20. Mengakhiri ucapan saya, saya dengan ini merasmikan Festival Kandungan Digital Malaysia dan Karnival Antarabangsa MyDigitalMaker 2024!

Sekian, terima kasih. -TAMAT-


13.9.2024_TEKS UCAPAN¬_PELANCARAN FESTIVAL KANDUNGAN DIGITAL MALAYSIA (MYDCF) & KARNIVAL ANTARABANGSA MYDIGITALMAKER.pdf

0.12MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2024