Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Koleksi Ucapan

Program Empowerher Digital

6 mins
·

SALUTASI

1. Yang Berusaha Tuan Anuar Fariz Fadzil Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia

2. Yang Berusaha Encik Rizal Dato’ Nainy Ketua Pegawai Eksekutif, SMECorp Malaysia

3. Yang Berbahagia Datuk Ahmad Zaki Zahid Ketua Pegawai Strategi, Digital Nasional Berhad

4. Puan Yushida Husin Ketua Pegawai Eksekutif, CGC Digital

Rakan - Rakan Strategik,

Rakan - Rakan Media,

Hadirin Yang Dihormati Sekalian.

Selamat Pagi, Salam Perpaduan dan Salam Malaysia MADANI.

1. Saya amat berbesar hati dapat bersama-sama anda semua hari ini bagi pelancaran program EmpowerHER Digital 2025. Bagi saya, pendigitalan bukan sekadar mengenai teknologi, tetapi bagaimana kita membuka lebih banyak peluang kepada semua – terutamanya kepada golongan wanita.

2. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Digital Nasional Berhad (DNB), dengan sokongan SME Corp Malaysia, atas usaha bersama untuk menjayakan inisiatif ini. EmpowerHER Digital 2025 adalah salah satu langkah penting kerajaan dalam merapatkan jurang digital dan memperkasakan wanita dalam ekonomi digital.

3. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua peserta wanita yang menyertai program ini. Saya tahu, bukan mudah untuk keluar dari zon selesa dan meneroka dunia digital. Tetapi hari ini, saudari telah mengambil langkah berani untuk menyahut cabaran mengadaptasi teknologi digital, dan membina masa depan yang lebih mampan dan berdaya saing.

Ekonomi Digital: Peluang Untuk Semua

Para Hadirin Sekalian,

4. Kita semua sedar bahawa dunia hari ini berkembang pesat dengan dipacu oleh teknologi digital. Kemajuan dalam e-dagang, kecerdasan buatan (AI), Fintech, dan Ekonomi Gig telah membuka ruang baharu untuk pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif. Tetapi persoalannya, adakah semua orang mendapat akses yang sama kepada peluang ini?

5. Saya tidak mahu ada sesiapa yang ketinggalan lebih-lebih lagi kaum wanita. Inilah sebab utama EmpowerHER Digital diwujudkan, bagi memastikan lebih ramai wanita, terutamanya dari kumpulan B40, mendapat kemahiran digital, akses pasaran, dan bimbingan yang boleh membantu mereka membina perniagaan dan kehidupan yang lebih stabil.

6. Hakikatnya, hampir 220,000 usahawan wanita telah menceburi e-dagang melalui pelbagai platform, tetapi hanya 12.63% menerima latihan selepas penyertaan awal. Ini menunjukkan bahawa ramai wanita masih memerlukan bimbingan berterusan agar mereka bukan sekadar berdaftar di platform digital, tetapi juga mampu bersaing dan berjaya.

7. Data juga menunjukkan bahawa hampir 57,000 wanita peniaga dalam talian tidak berjaya mencapai sebarang jualan, manakala sebahagian besar hanya memperoleh pendapatan di bawah RM1,000. Ini bermakna masih terdapat halangan dalam memanfaatkan sepenuhnya peluang ekonomi digital, dan inilah peranan kita untuk membantu mereka maju ke hadapan.

8. Saya yakin, apabila lebih ramai wanita diberi peluang dalam ekonomi digital, kesannya tidak hanya kepada individu tetapi juga akan turut menyumbang kepada pembangunan komuniti dan memberi impak positif kepada ekonomi negara.

9. Dan saya tidak mahu program ini terhenti di sini. Kita akan memperluaskan EmpowerHER Digital ke lebih banyak negeri, supaya lebih ramai wanita; sama ada di bandar atau luar bandar, dapat merasai manfaatnya. Peranan Kerajaan Dalam Memperkasa Wanita Digital

Para Hadirin Sekalian,

10. Kerajaan, melalui Kementerian Digital dan MDEC, komited untuk memastikan transformasi digital negara bersifat inklusif. Ini bermakna setiap lapisan masyarakat - termasuk wanita luar bandar, ibu tunggal, dan golongan kurang berkemampuan - mesti diberikan peluang yang sama untuk berkembang dalam ekonomi digital.

11. Realitinya, berdasarkan laporan program DE Dagang yang dilaksanakan pada tahun 2022, 95% usahawan wanita beroperasi secara individu, bukan sebagai syarikat atau entiti perniagaan rasmi. Ini memberi gambaran bahawa kebanyakan wanita masih dalam peringkat awal pendigitalan dan memerlukan sokongan lebih mendalam dalam aspek pembiayaan, pemasaran digital, serta latihan strategik.

12. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan tiada siapa yang ketinggalan dalam arus transformasi digital. EmpowerHER Digital bukan sekadar program latihan, ia adalah gerakan nasional untuk membina keyakinan diri wanita dalam dunia digital dan membantu mereka mencipta kejayaan sendiri.

13. Saya juga ingin mengucapkan penghargaan kepada semua rakan industri yang telah menunjukkan komitmen dalam menyokong wanita B40. Penyertaan Shopee, TikTok, CGC Digital, dan Pixlr dalam program ini membuktikan bahawa kerjasama antara sektor awam dan swasta adalah kunci untuk membina dan memperkukuh ekosistem digital yang lebih inklusif.

Penutup

14. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin menyeru semua pihak untuk terus menyokong dan memperkasakan wanita dalam dunia digital. Saya yakin, dengan usaha bersama, kita mampu membentuk Malaysia yang lebih inklusif, maju, dan makmur dalam era digital ini.

15. Dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan program EmpowerHER Digital 2025. Semoga program ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan dalam usaha kita memperkasa wanita dalam ekonomi digital.

Sekian, terima kasih.

#TAMAT#


06032025_TEKS UCAPAN_PROGRAM EMPOWERHER DIGITAL.pdf

0.18MB

06032025_SPEECH_EMPOWERHER DIGITAL PROGRAMME.pdf

0.16MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025