Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Koleksi Ucapan

Program Empowerher Digital 2025

7 mins
·

SALUTASI

1. Yang Berbahagia Datuk Azman Ismail Ketua Pegawai Eksekutif, Digital Nasional Berhad

2. Encik Goh Seow Eng Ketua Pegawai Eksekutif, Maxis Berhad

3. Yang Berbahagia Datuk Ahmad Zaki Zahid Ketua Pegawai Strategi, Digital Nasional Berhad

4. Encik Azizul Abdul Rahman Ketua Pegawai Perhubungan Korporat, Maxis Berhad

5. Puan Norazlin Hassan Ketua Komunikasi Korporat, MDEC

Rakan - Rakan Media,

Tuan - Tuan dan Puan - Puan,

Para Hadirin Sekalian.

Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani.

1. Saya berasa amat sukacita, dan berbesar hati berada di sini hari ini untuk merasmikan program EmpowerHER Digital. Saya ingin mengucapkan penghargaan kepada DNB, MDEC dan Maxis Berhad, kerana menjemput saya ke inisiatif yang bermakna ini, bagi memastikan konsep Digital Malaysia itu terangkum dan inklusif, agar kesemua peluang-peluang yang dicetuskan oleh pendigitalan dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat.

2. Program ini merupakan usaha Kementerian Digital untuk terus memacu dan menaik taraf ekonomi wanita menerusi pendigitalan, dan adalah sebahagian daripada gerakan lebih besar Kerajaan Malaysia untuk memastikan wanita, terutamanya dari komuniti B40, mempunyai kemahiran, peralatan, dan keyakinan untuk berjaya dalam dunia digital.

3. Sesungguhnya, teknologi digital sedang mengubah cara kita hidup, beriadah, bekerja, dan menjalankan perniagaan. Perniagaan kini boleh dijalankan dari mana-mana sahaja, hanya dengan telefon pintar dan sambungan internet. Namun, ramai wanita menghadapi halangan untuk mengakses ekonomi digital, sama ada disebabkan kekurangan kemahiran, sumber, ataupun kerana tidak tahu di mana dan bagaimana untuk bermula.

4. Hari ini, kita berada di sini untuk mengubah keadaan ini, bagi memastikan tiada siapa yang ketinggalan ketika kita bergerak ke arah Malaysia yang lebih digital.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

5. Wanita merangkumi hampir separuh daripada 36 juta penduduk Malaysia. Namun, penyertaan wanita dalam pekerjaan hanya menyumbang sekitar 14% kepada KDNK negara, menunjukkan potensi yang belum dimanfaatkan. Peranan gender tradisional, norma budaya, dan kekurangan perkhidmatan penjagaan anak yang termampu menyukarkan wanita untuk mengimbangi kerja dan tanggungjawab keluarga. Selain itu, diskriminasi di tempat kerja juga dilihat menghalang penyertaan wanita dalam tenaga kerja.

6. Halangan - halangan ini sememangnya telah wujud sejak sekian lama dan memerlukan usaha dan masa untuk diatasi. Namun, adalah penting untuk kita sama - sama mengatasi halangan berikut, bagi memastikan semua orang, tanpa mengira jantina, dapat mengakses segala peluang dan menaik taraf hidup mereka masing-masing.

7. Ketika masyarakat Malaysia bergerak ke arah masa depan yang lebih inklusif, adil, dan terbuka, teknologi digital menawarkan peluang untuk mempercepatkan perjalanan ini dan memperkasakan wanita ke arah kebebasan ekonomi dan sosial.

8. EmpowerHER Digital melengkapkan wanita dengan kemahiran yang mereka perlukan untuk berjaya, sama ada dari segi belajar mengenai kaedah untuk memasarkan produk secara dalam talian, mencipta kandungan yang menarik, atau mengurus kewangan dengan berkesan. Ia menunjukkan bahawa dunia digital bukan hanya untuk pekerja syarikat korporat besar atau pakar teknologi; ia adalah untuk semua orang, termasuk wanita yang bekerja keras menjalankan perniagaan dari rumah, menjual kraf tangan, ataupun wanita yang beraspirasi untuk memulakan sesuatu yang baru untuk memperbaiki kehidupan mereka.

9. Wanita boleh memanfaatkan teknologi terkini, seperti kecerdasan buatan (AI), untuk meningkatkan perniagaan dan produktiviti mereka. Contohnya, AI boleh mengautomatikkan tugas rutin, membantu membangunkan strategi pemasaran menggunakan analitik data, dan meningkatkan pengalaman pelanggan menggunakan chatbot.

10. Sehubungan itu, saya ingin menggalakkan para peserta di sini dan usahawan wanita di luar sana untuk mengambil peluang daripada Inisiatif Pendigitalan Perniagaan MDEC - MDEC Business Digitalisation Initiative - dalam usaha mendakap pendigitalan bagi menambah baik perniagaan anda.

11. Sebuah portal - MDEC.my/bdi - kini telah beroperasi, dan anda dapat melihat rakan-rakan strategik yang bersedia membantu anda, termasuk dalam menyediakan kemudahan pembiayaan mikro.

Para hadirin yang saya hormati sekalian,

12. Salah satu aspek terpenting dalam program hari ini ialah ia bukan hanya tentang peningkatan kemahiran. Program ini menggembleng tenaga dan kemahiran puan-puan bagi memberi sokongan sesama wanita. Ia adalah kolaborasi dan semangat kerjasama untuk mencapai kejayaan. Perjalanan membina sesuatu, sama ada perniagaan, kerjaya, atau kemahiran baru, bukan dilakukan secara bersendirian – tetapi secara bersama.

13. Program ini mengumpulkan jurulatih, pakar, dan wanita-wanita berjaya yang telah melalui perjalanan sebelum ini. Perjalanan mereka adalah bukti bahawa kejayaan boleh dicapai, dengan pemikiran dan mindset yang betul, ketekunan, dan kesediaan untuk belajar. Saya berharap kisah mereka akan memberi ilham dan inspirasi dan mengingatkan anda bahawa perjalanan anda baru sahaja bermula.

14. Saya berasa terharu melihat anda semua, wanita yang anggun dan bersemangat kental dari latar belakang yang berbeza, di sini untuk menyokong satu sama lain dan membuat perbezaan dalam kehidupan masing-masing. Kita teruskan usaha kita secara bersama demi menggarap kejayaan yang lebih besar dan bermakna.

15. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, saya ini merakamkan penghargaan kepada kerjasama luar biasa yang telah membawa EmpowerHER Digital ke tahap ini. Kementerian Digital, bersama Digital Nasional Berhad (DNB) dan MDEC dengan sokongan Maxis Berhad, telah bersatu dengan satu matlamat bersama: untuk membina ekonomi digital yang inklusif. Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat.

16. Kemajuan yang berterusan memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, perniagaan, dan komuniti untuk memastikan lebih ramai wanita mempunyai akses yang bermutu kepada peluang yang mereka layak terima.

17. Mari kita terus bekerjasama untuk memastikan peluang digital kekal dapat diakses oleh semua. Dengan usaha kolektif, saya yakin kita boleh memacu perubahan yang bermakna dan membina sebuah masyarakat digital di mana semua insan mempunyai peluang untuk maju dan berjaya.

Sekian, terima kasih.

#TAMAT#


18042025_TEKS UCAPAN_PROGRAM EMPOWERHER DIGITAL 2025.pdf

0.22MB

18042025_SPEECH_EMPOWERHER DIGITAL 2025.pdf

0.17MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025