Portal Rasmi Kerajaan Malaysia
Kenal pasti begini

Pautan portal rasmi berakhir dengan .gov.my

Sekiranya anda melihat pautan selain .gov.my, segera tutupkan halaman itu walaupun ia menyerupai portal rasmi!

Portal yang selamat menggunakan HTTPS

Periksa ikon loker ( ) atau https:// di depan pautan. Sekiranya tiada, jangan kongsikan sebarang maklumat sensitif.

Siaran Media

Akta Perkongsian Data 2025 Berkuat Kuasa Hari Ini;Tingkatkan Perkhidmatan Kerajaan,Lindungi Data Peribadi

3 mins
·

SIARAN MEDIA

AKTA PERKONGSIAN DATA 2025 BERKUAT KUASA HARI INI; TINGKATKAN PERKHIDMATAN KERAJAAN, LINDUNGI DATA PERIBADI

Hari ini menandakan satu detik bersejarah buat Malaysia apabila Akta Perkongsian Data 2025 yang dinanti-nantikan mula berkuat kuasa.

Akta ini penting kerana ia menyediakan kerangka perundangan dan berstruktur bagi perkongsian data yang selamat dan berkesan antara kementerian dan agensi kerajaan persekutuan. Akta Perkongsian Data 2025 mewujudkan satu proses di mana permohonan untuk mendapatkan data boleh dibuat oleh agensi-agensi persekutuan tersebut, serta menetapkan bagaimana permohonan tersebut akan dikendalikan.

Jawatankuasa Perkongsian Data Kebangsaan akan menjalankan penilaian ketat ke atas setiap permohonan berdasarkan kriteria yang ditetapkan dalam akta ini – dalam menentukan sama ada data yang dimohon boleh dikongsi atau tidak. Pendekatan ini menggalakkan akauntabiliti serta memastikan data peribadi kekal terpelihara.

Akta baharu ini dijangka meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam, membolehkan jabatan kerajaan mengakses data bersama secara masa nyata. Ini akan mempercepatkan proses membuat keputusan dan memperbaiki koordinasi dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Perkongsian dan analisis data juga penting bagi pembangunan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), terutamanya dalam membangunkan aplikasi untuk pelbagai sektor seperti penjagaan kesihatan, pertanian, dan perancangan bandar, seterusnya menghasilkan penyelesaian yang inovatif dan praktikal. Melalui penguatkuasaan akta ini dan penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), aspirasi Kerajaan MADANI untuk membina negara berteraskan AI akan dipacu dengan lebih pantas.

Akta Perkongsian Data 2025 juga akan mewujudkan Kerajaan yang lebih berhubung, berasaskan data, serta akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, melindungi kebajikan mereka, dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Saya menggesa semua kerajaan negeri untuk memperkenalkan undangundang serupa yang dapat memudahkan perkongsian data antara Kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan demi manfaat negara secara keseluruhan.

Kami juga sedang berusaha untuk melibatkan pemain industri dalam merangka mekanisme yang membolehkan perkongsian data antara kerajaan dan sektor industri pada masa akan datang.

Langkah ini akan membolehkan penggunaan teknologi secara meluas, tadbir urus berasaskan data, serta penyelesaian teknologi masa depan yang membolehkan negara kita mengoptimumkan manfaat teknologi untuk rakyat, dalam menghadapi cabaran masa hadapan.

YB GOBIND SINGH DEO

MENTERI DIGITAL

28 APRIL 2025.

-TAMAT-

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Menteri

Kementerian Digital, Malaysia


28042025_KENYATAAN MEDIA_AKTA PERKONGSIAN DATA 2025 BERKUAT KUASA HARI INI; TINGKATKAN PERKHIDMATAN KERAJAAN, LINDUNGI DATA PERIBADI.pdf

0.08MB

28042025_PRESS RELEASE_DATA SHARING ACT 2025 COMES INTO EFFECT TODAY - SET TO ENHANCE GOVERNMENT SERVICES, PROTECT PERSONAL DATA.pdf

0.18MB

Jata Negara

Kementerian Digital

Aras 13, 14 & 15, Blok Menara,
Menara Usahawan
No. 18, Persiaran Perdana, Presint 2
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62000 Putrajaya, Malaysia

Ikuti Kami

Hak Cipta Terpelihara © 2025